Saturday, September 14, 2013

Undang-undang Islam gemilang sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu

Buat mereka yang tidak yakin dengan perundangan islam selepas dijajah ratusan tahun,semoga ada kesedaran dalam kehidupan berugama.

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar (majlis peguam syariah)
14/06/2010

Usaha penjajah Inggeris pisahkan urusan sivil, keagamaan dalam pentadbiran negara berjaya

SEBELUM kedatangan penjajah, Tanah Melayu sudah melaksanakan undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian. Umat Islam diadili di hadapan Sultan, Raja, pemerintah kawasan dan sebagainya berdasarkan undang-undang Islam dalam semua urusan termasuk hal-ehwal kekeluargaan, muamalat dan jenayah.

Undang-undang awal di Tanah Melayu menitikberatkan undang-undang Islam. Ini dapat dilihat umpamanya di dalam Undang-Undang 99 Perak dan Kanun Melaka kebanyakan undang-undangnya adalah berteraskan Islam.

Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengetahui dan menyedari undang-undang Islam adalah undang-undang yang diterima pakai dan dilaksanakan di sini. Jika kita merujuk kepada kes yang diputuskan di mahkamah, hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan.

Contohnya dalam satu kes iaitu Rahmah lwn Laton yang diputuskan pada 1927, mahkamah memutuskan undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia adalah undang-undang asal yang diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Selepas Inggeris menduduki Tanah Melayu, pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu memeterai beberapa perjanjian atau dipanggil triti. Dalam triti itu, diletakkan syarat Residen Inggeris dibenarkan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada pihak Sultan.

Namun begitu, residen tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran agama serta pelaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu. Pada ketika itu, urusan undang-undang mula dibahagikan kepada aspek yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam.

Begitu juga kedudukan undang-undang jenayah. Akhirnya dianggap urusan agama dan adat-istiadat hanya merujuk kepada urusan ibadah khususiah orang Islam dan juga urusan perkahwinan yang dipanggil ‘undang-undang diri’ serta beberapa kesalahan membabitkan hukum agama yang khusus seperti tidak berpuasa dan sebagainya.

Selepas menguasai Pulau Pinang pada 1786, Inggeris berusaha bersungguh-sungguh membawa undang-undang mereka ke sini. Mereka menubuhkan mahkamah dan melantik hakim yang mahir undang-undang Inggeris untuk bertugas dan mengadili kes di Tanah Melayu. Perkara sama berlaku di Singapura dan Melaka.

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam dipanggil ‘Charters of Justice’ (Piagam Keadilan pertama) pada 1807, (Piagam Keadilan kedua) pada 1826 dan (Piagam Keadilan ketiga) pada 1885. Semua ini bertujuan mengangkat taraf undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang asas (lex loci).

Campur tangan secara langsung terhadap urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu juga berlaku pada 1880. Inggeris memperkenalkan satu ordinan dipanggil ‘Muhammedan Marriage Ordinance’ (Ordinance no. 5, 1880). Ordinan ini digubal dengan tujuan untuk menetapkan sejauh mana undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf mahkamah.

Dengan terlaksananya ordinan ini juga, maka cita-cita dan usaha British untuk memisahkan di antara urusan sivil dan keagamaan yang dirancang sejak kedatangannya ke Tanah Melayu mula terzahir dengan begitu jelas.

Apa yang berlaku sebenarnya menunjukkan Inggeris campur tangan secara langsung dan tidak langsung terhadap perkara yang berkaitan dengan agama dan juga adat-istiadat Melayu. Dalam ordinan itu juga, perkara mengenai pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang Islam, pengiktirafan kepada kedudukan kadi dan peraturan terhadap harta perempuan yang berkahwin, diperuntukkan.

Apabila Inggeris menguatkuasakan undang-undang Muhammadan Marriage and Divorce Registration Enactment Chapter 197 of Revised Law of Federated Malay States, 1935, ia lebih memusatkan kepada aspek pentadbiran seperti pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk serta sedikit hukum asas dalam perkahwinan.

Ia bertujuan memudahkan British mengawal selia urusan kekeluargaan masyarakat Islam di samping cuba mengekalkan polisi tidak mencampuri hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu secara langsung dan tidak menghina amalan sedia ada.

Bermula pada awal 1950-an, tindakan pertama dijalankan dengan tergubalnya Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak, Selangor 1952 yang mengandungi urusan penubuhan Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Selangor yang membantu Sultan dalam mentadbir perkara berkaitan agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Hak dan kuasa majlis, peraturan mesyuaratnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, pelantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa. Enakmen Pentadbiran 1952 ini juga memperuntukkan perkara berkaitan dengan urusan wakaf, nazar, zakat, fitrah, pungutan khairat, hal-ehwal wang amanah, pengurusan masjid dan pelantikan pegawainya.

Aspek kekeluargaan ada diperuntukkan tetapi tidaklah terperinci. Ia hanya meliputi urusan pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembubaran perkahwinan, harta sepencarian, penjagaan anak-anak, nafkah anak-anak dan isteri, anak sah taraf dan sebagainya.

Kandungan Enakmen Pentadbiran 1952 ini sebenarnya lebih kepada menggabungkan pelbagai undang-undang pentadbiran agama Islam dan menggantikan pemakaian kanun Muhammadan Enactmen.

Jelaslah campur tangan British secara langsung dan tidak langsung terhadap undang-undang Islam sudah berlaku. British meninggalkan kita hampir 53 tahun lalu tetapi kita masih di takuk lama dalam usaha mengarusperdanakan syariah.
Kegemilangan undang-undang Islam pra-British perlu dikembalikan.

Undang-undang Islam yang dipinggirkan itu perlu diletakkan semula ke tempatnya kembali. Walaupun ada usaha untuk memartabatkan undang-undang Islam di pelbagai pihak, nampaknya kehendak politik masih membataskan kejayaan meletakkan Islam sebagai agama bagi persekutuan pada hakikatnya sebenar.